GUA MUSANG – Kebanjiran pelbagai kuih moden dengan hiasan menarik tidak menggugat legasi kuih tradisional yang diusahakan sejak turun-temurun.
Kuih tradisional seperti buah tanjung, jala mas dan puding raja yang dahulunya merupakan juadah manis hidangan istana tetap mempunyai peminat tersendiri.
Pengusaha kuih tradisional, Wan Samihat Wan Ahmad, 58, berkata, juadah itu masih mendapat tempahan tinggi daripada masyarakat khususnya pada bulan ramadan.
Katanya, perusahaan kuih muih tersebut menjadi sumber pendapatan kerana mampu meraih jualan lebih RM5,000 sebulan pada bulan ramadan.
“Bahan utama yang digunakan dalam kuih muih yang terkenal dengan rasa manisnya adalah telur ayam serta gula. Saya menggunakan 300 biji telur ayam sehari bagi menghasilkan kuih tradisional itu.
“Jarang orang nak belajar buat kuih tradisional sebab mereka kata susah, kuih ini zaman lama serta tiada kelas. Namun, kerana minat saya belajar selama tiga tahun untuk melipat jala emas ni menjadi kepingan yang kemas dan cantik,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Wan Samihat yang sudah membuat kuih berkenaan lebih 20 tahun lalu berkata, kuih moden memang terlalu banyak dan tidak terkira resepinya, namun orang ramai tetap mendambakan kuih tradisional ini setiap kali tibanya Ramadan. K! ONLINE.











