KUALA LUMPUR 22 Mei – Kabinet kerajaan baharu diharapkan dapat tampil dengan idea baharu dan segar dalam strategi untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi usahawan Melayu yang masih jauh ketinggalan.
Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Tan Sri Matshah Safuan berkata, program-program sedia ada yang bertujuan memperkasakan usahawan Melayu bukan sahaja wajar diteruskan, malah perlu ditambah baik.
“Perdasama bukanlah badan politik, kita adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang fokus untuk meningkatkan taraf ekonomi usahawan Melayu. Justeru, kita sentiasa menyokong siapa sahaja yang menerajui kerajaan.
“Kita berharap program-program untuk membantu usahawan Melayu yang telah diwujudkan sejak zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kini kembali kepada Tun Mahathir, bukan sahaja akan dikekalkan tetapi juga akan diperbaiki dengan idea-idea baharu agar jurang ekonomi antara usahawan Melayu dan kaum lain dapat dirapatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis berbuka puasa Perdasama bersama anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Lambaian Kasih di sini, malam ini.
Dalam majlis itu, kira-kira 50 anak yatim diraikan dengan hidangan istimewa dan duit raya.
Kesemua tetamu kemudian menunaikan solat maghrib dan tarawih secara berjemaah. – UTUSAN ONLINE











