TAPAH – Kerajaan Perak pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan menubuhkan tabung patriotik untuk menerima derma daripada orang ramai yang ingin membantu rakyat kurang bernasib baik di negeri itu.
Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha itu bagi memastikan individu yang memerlukan seperti mangsa bencana menerima peruntukan menerusi tabung berkenaan.
“Walaupun perkara ini belum diuar-uarkan dengan meluas dan akaun secara rasmi belum dibuka, saya dikunjungi seorang individu yang menghulurkan derma RM100,000 kepada kerajaan negeri bagi kegunaan orang awam di negeri ini.
“Pegawai Kewangan Negeri (Datuk Mohd. Ghazali Jalal) akan membuka akaun untuk tabung tersebut dan nombor akaun akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan banjir kepada 29 penerima di Kampung Pahang di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan kesemua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kerajaan negeri minggu depan, berhubung pemotongan gaji asas menteri besar dan ahli Exco sebanyak 10 peratus. – Bernama










