TAPAH 27 Mei – Lembaga Air Perak (LAP) sedang mengkaji mekanisme terbaik untuk melaksanakan penawaran air percuma seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya komited untuk melaksanakan perkara itu setelah perbincangan bersama LAP bagi memastikan ia dapat dinikmati oleh kumpulan sasar.
“Kita dapati ada ruang luas yang mencukupi untuk kita laksanakan dan ada beberapa idea, namun kita sedang mencari definisi lebih jelas untuk kumpulan sasar berkenaan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama penduduk setempat di Masjid Ar-Rahmaniah, Chenderiang di sini semalam.
Tambah Ahmad Faizal, pihaknya mempunyai keyakinan penuh terhadap LAP untuk melaksanakan tawaran berkenaan dalam masa 100 hari memerintah mengikut kemampuan kewangan kerajaan negeri.
Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai tindakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah penjualan minuman keras di sebuah pasar raya di Gugusan Manjoi yang merupakan perkampungan Melayu terbesar di negara ini baru-baru ini, Ahmad Faizal berkata, keresahan tersebut sebenarnya boleh dibawa kepada kerajaan mengikut saluran yang betul.
“Mereka mengambil tindakan secara sendirian, namun saya faham dengan emosi mereka dan pengusaha juga perlu sensitif dengan masyarakat setempat.
“Namun, saya puji langkah pengusaha berkenaan yang menerima bantahan tersebut dengan baik,” katanya.











