PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan kes penyelewengan dalam 1Malaysia Development (1MDB) adalah benar dan bukan rekaan mana-mana pihak.
Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, beliau akan menyelesaikan tugas yang tertangguh selepas kembali semula ke SPRM demi kepentingan negara.
“Kembalinya saya semula ke dalam SPRM bukanlah sesuatu yang menggembirakan, sebaliknya besar cabaran dan tanggungjawab yang saya perlu galas di sini.
“Saya akan selesaikan siasatan yang tertangguh. Siasatan berhubung kes SRC International, 1MDB amat menakutkan,” katanya.
Menurut Shukri lagi, beliau menghadapi tekanan yang amat hebat sepanjang diberi tanggungjawab menyiasat kes yang turut menarik ramai.
Antara cabaran dalam siasatan itu termasuk saksi dilarikan, saksi diambil pihak luar selain pelbagai ugutan.
“Saya sendiri diugut untuk dipecat, diminta bersara awal, dicutikan dan dibekukan tapi saya bernasib baik dapat ketua yang baik iaitu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim yang memihak pada saya.
“Setelah siasatan hampir selesai, saya dikejutkan pula dengan pemecatan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail,” katanya. – K! ONLINE










