KUALA LUMPUR 22 Mei- Pelakon antarabangsa, yang cukup terkenal dengan ketangkasan dalam seni mempertahankan diri, Jet Li, baru-baru ini dikatakan hampir tidak dikenali peminatnya.

Menerusi beberapa gambar yang tular, Li dikatakan berada di Tibet untuk melawat kuil di negara tersebut.
Kelihatan lebih tua dari umur serta sangat uzur, ramai peminat yang mula bimbang akan tahap kesihatan pelakon yang berasal dari China ini. Malahan ada peminat yang tidak percaya Jet Li baru berumur 55 tahun.
Sebelum ini, pada 2013 Jet Li pernah mendedahkan yang dia sedang berdepan dengan beberapa masalah kesihatan termasuk hipertiroidisme, tulang belakang dan jantung.
Bagaimanapun kata pelakon ini. dia masih mampu mengawal penyakitnya melalui pengambilan ubat-ubatan.
Namun dalam masa yang sama, dia juga telah diberi amaran oleh doktor agar tidak menerima tawaran berlakon yang boleh menyebabkan dia menghabiskan sisa hidup di atas kerusi roda.
Jet Li yang sebelum ini pernah membintangi filem Lethal Weapon V dan Expendables 2 pada tahun lalu pernah mendedahkan bagaimana dia menjalani kehidupan dalam keadaan sakit.
Katanya, walaupun dia mengikut saranan doktor namun penyakit tersebut kerap menyerang tanpa mengira waktu.
Sementara itu kemunculan Jet Li di Tibet juga ada kaitan dengan kepercayaannya sebagai penganut Buddha. Jet Li yakin pegangan kepada ajaran berkenaan serta amalan meditasi di samping membaca kitab akan membantu dirinya lebih stabil bagi menghadapi penyakit tersebut, – UTUSAN ONLINE









