KUASA pengampunan dalam negara ini disebutkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Fasal (1) menyatakan bahawa: “Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum (pardons, reprieves and respite) berkenaan dengan segala kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan…”, manakala Raja atau Sultan (di sembilan Negeri Melayu) dan Yang Dipertua Negeri (di Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak) mempunyai kuasa yang sama mengenai kesalahan yang dilakukan dalam negeri terbabit.
Kuasa pengampunan yang ada pada Yang di-Pertuan Agong (bagi kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan) dan pada Sultan atau Yang Dipertua Negeri (bagi negeri-negeri) ini dipanggil “prerogatif Raja” (royal prerogative) yang tidak boleh dibangkitkan, disoal atau dipertikai oleh mana-mana pihak dalam mana-mana mahkamah.
Walaupun perkara kuasa pengampunan sebagai satu prerogatif Raja yang tidak boleh disoal di mahkamah ini tidak disebutkan secara nyata dalam Perkara 42, kedudukan undang-undang ini jelas daripada beberapa keputusan mahkamah kita di masa lampau. Misalnya, dalam kes Karpal Singh lawan Sultan of Selangor (1985) 1 MLJ 64, Abdul Hamid (Hakim Besar Malaya pada ketika itu) telah menyatakan bahawa kuasa seorang Sultan atau Raja memberi pengampunan adalah satu kuasa tinggi memberi belas kasihan (power of high prerogative of mercy) yang tidak boleh disoal, dipertikai atau disemak semula di mahkamah.
Dalam kes itu, pemohon (Karpal Singh) telah memohon kepada mahkamah untuk mengisytiharkan bahawa tindakan Sultan Selangor (yang bertitah sebelum itu bahawa baginda tidak akan mengampunkan sesiapa sahaja yang telah disabitkan kesalahan mengedar dadah di Selangor) adalah menyalahi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan kerana tindakan baginda itu seolah-olah menafikan hak rakyat untuk membuat petisyen mendapatkan keampunan atau peringanan hukuman, dan ini menyalahi Perlembagaan Persekutuan. Permohonan itu telah ditolak oleh mahkamah.
Sambil memetik kes Sim Kie Chon’s case (1985) 2 MLJ 385, Hakim Besar itu menyatakan bahawa kes yang difailkan oleh Karpal Singh itu tidak menzahirkan apa-apa kausa tindakan yang munasabah (reasonable cause of action), selain ia bukan sesuatu perkara yang boleh dibicarakan di mahkamah (not justiciable). Hakim juga menyatakan bahawa di bawah Perkara 42 Fasal (1) itu, walaupun Lembaga Pengampunan dikehendaki menyembahkan nasihatnya kepada Yang di-Pertuan Agong, peruntukan Perlembagaan itu tidak mewajibkan Yang di-Pertuan Agong atau Sultan bertindak selaras dengan nasihat tersebut.
Pada petang Jumaat lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad (selaku Perdana Menteri Malaysia ketujuh yang baru dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong ekoran kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU-14) memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah menyatakan kesediaan baginda untuk mengampunkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat ini.
Dr. Mahathir turut menjelaskan bahawa pengampunan ini adalah satu pengampunan penuh, yang bermakna sebaik sahaja Anwar diampunkan, beliau boleh kembali aktif dalam arena politik negara. Anwar (kini berusia 70 tahun) dijadualkan akan dibebaskan pada 8 Jun depan setelah menjalani hukuman penjara lima tahun mulai 2015 lalu (setelah mengambil kira pengurangan tempoh itu berasaskan berkelakuan baik).
Untuk membolehkan Anwar kembali menyertai kerajaan, beliau perlu terlebih dahulu menjadi anggota Parlimen, sama ada sebagai wakil rakyat (yang bermakna satu pilihan raya kecil perlu diadakan terlebih dahulu dan beliau mesti menang di situ) atau sebagai Senator (dilantik oleh Perdana Menteri menjadi Ahli Dewan Negara).
Satu portal berita tempatan (www.freemalaysiatoday.com) baru-baru ini memetik bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad sebagai mempersoalkan asas pengampunan yang akan diberi kepada Anwar, sambil mengatakan bahawa “Lembaga Pengampunan perlu konsisten kerana ia akan memberi kesan pada permohonan di masa akan datang.”
Beliau bertanya: “Apakah alasannya? Semua orang tahu, (pengampunan itu adalah) untuk membolehkan beliau bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen dan, seterusnya dilantik menjadi Perdana Menteri. Adakah itu satu alasan yang cukup dan berpatutan (sufficient and reasonable) bagi Lembaga Pengampunan memberi pengampunan kepadanya?”
Bekas Ketua Hakim Negara itu terus bertanya jika alasan Anwar diberi pengampunan adalah semata-mata untuk membolehkannya kembali ke arena politik negara, nanti pada suatu hari jika ada seorang banduan lain yang meminta diberi pengampunan untuk membolehkannya bertanding dalam pilihan raya untuk menjadi Ahli Parlimen, apakah atas asas yang sama, dia juga akan diampunkan?
Saya sedikit terkejut mendengar pandangan bekas Ketua Hakim Negara itu memandangkan pendulunya (Hakim Besar Malaya Abdul Hamid, yang kemudiannya menjadi Ketua Hakim Negara juga) telah pun menegaskan dalam kes Karpal Singh lawan Sultan Selangor bahawa tidak ada kewajipan bagi Yang di-Pertuan Agong atau Sultan untuk mendengar nasihat atau perakuan Lembaga Pengampunan.
Dengan lain perkataan, ahli Lembaga Pengampunan yang menilai permohonan pengampunan Anwar di masa terdekat ini bebas dan boleh membuat perakuan dan memberi nasihat mereka kepada Yang di-Pertuan Agong (“konsisten” seperti yang disebutkan oleh bekas Ketua Hakim Negara di atas), tetapi baginda juga bebas membuat keputusan baginda sendiri.
Perlu ditekankan di sini bahawa di bawah Fasal-Fasal lain Perkara 42 ini, prosedur berikut berhubung Lembaga Pengampunan mesti dipatuhi, iaitu:
1. Lembaga Pengampunan mesti diwujudkan terlebih dahulu (anggotanya terdiri dari Peguam Negara, Menteri Wilayah, dan tidak kurang daripada tiga orang lain dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong);
2. Lembaga mesti bermesyuarat dengan kehadiran baginda, yang hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu;
3. Lembaga hendaklah menimbangkan pendapat bertulis Peguam Negara, dan akhir sekali;
4. Lembaga hendaklah menyembahkan nasihat serta perakuannya kepada baginda.
Walaupun banyak pihak meramalkan pengampunan Anwar akan dapat disempurnakan dalam sehari dua ini, saya kurang pasti ia akan dapat dilakukan kecuali prosedur penting seperti yang saya sebutkan di atas tadi dapat dipatuhi segera. Rakyat difahamkan bahawa pada masa ini kita tidak ada Peguam Negara.
DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.











