Peneroka harap tradisi beri duit raya diteruskan - Utusan Malaysia

Peneroka harap tradisi beri duit raya diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAU 30 Mei – Tradisi pemberian duit raya kepada semua peneroka Felda di seluruh negara seperti diamalkan oleh kerajaan terdahulu wajar diteruskan bagi membantu meringankan beban kewangan yang semakin bertambah untuk menyambut kedatangan 1 Syawal.

Peneroka Felda Jengka 22 di sini, Abd. Hamid Shafie berkata, pemberian duit raya itu dapat menunjukkan kerajaan sentiasa bersama peneroka dalam apa juga keadaan sekali pun.

“Perbelanjaan pasti lebih daripada biasa berikutan persediaan menyambut Syawal tidak lama lagi. Ketika ini, hasil sawit agak merosot berikutan pengeluaran melawas kesan cuaca panas. 

“Tekanan semakin membimbangkan kerana harga sawit berada di bawah RM500 satu tan metrik,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Peneroka Felda Dahlia Jengka 3, Mat Nayan Putih, 72, pula berkata, pemberian duit raya membolehkan ketua isi rumah berbelanja lebih sebagai persiapan awal hari raya.

“Masyarakat peneroka akan tetap menghargai sumbangan duit raya bagi meringankan beban golongan itu dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Peneroka Jengka 6, Saharuddin Lela, 60, turut berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dapat meneruskan tradisi pemberian duit raya kerana boleh membantu mengurangkan beban kewangan peneroka.

“Pemberian duit raya adalah pendekatan mesra bagi membantu peneroka menyambut Aidilfitri dengan lebih selesa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN