PUTRAJAYA – Rakyat dan syarikat yang menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia akan mendapat faedah potongan cukai, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
“Jadi tolonglah simpan resit ini (sumbangan) seperti termaktub dalam Sub Seksyen 44 (6) Akta Hasil Dalam Negeri 1967.
“Syarikat yang membuat derma pun dapat menikmati potongan cukai tersebut. Kalau anda derma banyak akan dapat potongan cukai berdasarkan jumlah yang disumbangkan,” katanya dalam sidang akhbar di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Mengakui adalah sukar untuk mengutip sehingga RM1 trilion namun Guan Eng berkata, kerajaan tidak melihat jumlah yang dikutip kerana ia adalah lebih kepada reaksi rakyat yang mahu untuk menyumbang kepada negara bagi membantu mengurangkan hutang Kerajaan Persekutuan.
“Selain menunjukkan rasa kecintaan kepada negara, rakyat turut meluahkan rasa marah dengan apa terjadi dan sama-sama berusaha mengurangkan hutang negara,” katanya. – Bernama










