JAGUH badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei menyeru pasukan lelaki kebangsaan agar bangkit dan membuktikan kehebatan masing-masing menjelang cabaran pertama menentang Rusia pada Piala Thomas 2018 di Bangkok, Thailand hari ini.
Tampil sebagai kapten pasukan, Chong Wei yang turut turun pada medan pertempuran pertama negara dalam peringkat kumpulan itu mengambil pendekatan terbuka dengan mengadakan sesi ‘hati ke hati’ bersama pemain-pemain muda Ahad lalu.
Atlet berusia 36 tahun itu mahu pemain-pemain muda bersikap jujur sekiranya memerlukan bantuan atau panduan daripada pemain-pemain senior agar mereka dapat saling membantu dan bergerak sebagai satu pasukan yang kuat.
Tambahnya, Rusia bukanlah pasukan yang boleh dipandang rendah dan sebarang kejutan boleh berlaku sekiranya skuad kebangsaan tidak bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental.
“Semalam (kelmarin), kami (bersama penolong kapten, Tan Wee Kiong) mengadakan perbincangan secara seorang demi seorang bersama pemain muda untuk mengetahui tahap persediaan mereka setakat ini.
“Ada yang sudah bersedia sepenuhnya dan ada yang masih mencari mood dan rentak. Saya mahu mereka tahu bahawa kami terbuka untuk membantu mereka sekiranya perlu.
“Ini masa terbaik buat pemain-pemain muda buktikan kehebatan masing-masing dengan memberikan komitmen terbaik dalam setiap perlawanan yang mereka tempuhi,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Arena Impact, Bangkok, Thailand semalam.
Mengulas mengenai persediaan peribadinya, bekas pemain No. 1 dunia itu mengakui telah bersedia sepenuhnya dan akan berhabis-habisan dalam aksi pembukaan hari ini.
“Pasukan Rusia agak seimbang dan sememangnya menjadi salah satu ancaman besar buat pasukan negara pada aksi pertama negara dalam Kumpulan D.
“Saya sudah bincang dengan jurulatih (Datuk Misbun Sidek) tentang strategi dan akan berikan sepenuhnya untuk memenangi perlawanan esok (hari ini),” katanya.











