KLUANG 29 Mei – Perbuatan tidak bermoral seorang lelaki yang mencuri pakaian dalam wanita akhirnya dihidu apabila tindakannya disedari orang ramai yang mencekupnya di Taman Sri Impian, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, pemuda berusia 23 tahun tersebut dipercayai mahu meneruskan aktivitinya di sebuah rumah lain, namun tidak berjaya apabila disedari seorang jiran mangsa.
Bagaimanapun, suspek yang tinggal di kawasan perumahan sama dipercayai telah mencuri pakaian tersebut di tempat lain apabila orang ramai berjaya menahannya bersama tujuh helai coli, tiga baju T dan sehelai seluar panjang.
Pemangku Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, suspek meletakkan pakaian tersebut di hadapan sebuah rumah dan cuba mengambil pula pakaian dalam wanita yang dijemur di rumah sebelah.
“Namun, perbuatan suspek tidak berhasil apabila pemilik rumah yang diletakkan pakaian itu menyedari perkara tersebut dan segera memberkasnya sebelum mengejutkan jirannya.
“Mereka telah menghubungi pihak polis dan membawa suspek serta barang-barang rampasan ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan lanjut,” katanya. di sini hari ini.










