KANGAR 20 Mei – Pemuda UMNO negeri ini melihat para pemimpin akan terus terbuai-buai kononnya mereka mendapat sokongan kuat daripada akar umbi sekiranya jawatan di dalam parti itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.
![]() |
|
SYED ATIF
|
Ketuanya, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata, tahap sokongan pemimpin-pemimpin itu perlu sentiasa diukur melalui pertandingan sama ada mereka diterima atau sebaliknya oleh ahli serta akar umbi.
Katanya, sekiranya tidak diadakan pertandingan, bagaimana boleh diukur tahap sokongan ahli terhadap kepemimpinan sedia ada.
“Jadi kita melihat, kalau tak mahu ada pertandingan, biarlah daripada atas sampai ke bawah jangan ada pertandingan. Biar semua pemimpin yang ada terbuai-buai dengan anggapan sendiri bahawa mereka mendapat sokongan yang kuat daripada akar umbi.
“Dalam sistem demokrasi, tahap sokongan perlu diukur dan pemimpin-pemimpin politik perlu bersedia dengan realiti bahawa kepimpinan mereka akan dinilai selepas suatu tempoh masa,” katanya, di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilaporkan tidak bersetuju jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Khairy dilaporkan berkata, budaya tersebut perlu dihentikan kerana ia dilihat antara penyebab masyarakat hilang kepercayaan terhadap UMNO, selain menjadi punca kekalahan parti itu dalam pilihan raya lalu.
Terdahulu, UMNO Melaka sebulat suara bersetuju supaya tiga jawatan tertinggi parti melibatkan kerusi presiden, timbalan presiden dan satu kerusi naib presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang. – UTUSAN ONLINE












