KANGAR – Kemelut di negeri Perlis melibatkan pelantikan Datuk Seri Azlan Man selaku Menteri Besar dan ‘usaha’ pemecatan beliau selaku ahli UMNO adalah tidak wajar berlaku.
![]() |
|
Hishammuddin Tun Hussein
|
Pemangku Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penerimaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada majlis mengangkat sumpah Menteri Besar semalam (Khamis) semestinya telah mengambil pertimbangan yang sebaiknya untuk rakyat di Perlis.
” Keputusan ini harus kita hormati.
“Apa-apa keputusan untuk memecat ahli parti perlu dibawa kepada Lembaga Disiplin dan merupakan kuasa Majlis Tertinggi UMNO dan bukannya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.
“Dalam keadaan UMNO yang masih dalam proses pemulihan, rakyat sedang memerhati dan menilai setiap tindakan kita. Rakyat telah memberikan mandat kepada BN untuk memimpin di Perlis dan kepercayaan ini harus dilaksana dengan penuh amanah.
“Seharusnya perkara seperti ini tidak boleh berlaku. Setiap daripada pemimpin UMNO harus berjiwa besar dan menampilkan kepimpinan yang terbaik untuk memenangi serta meyakinkan hati rakyat,” katanya dalam akaun Facebook rasmi beliau Hishammuddin Hussein malam tadi.
Kosmo! melaporkan semalam, Perlis berdepan dengan krisis perlembagaan apabila Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang baru mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dipecat daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan, Azlan dipecat kerana mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar tanpa mendapatkan sokongan majoriti ADUN yang lain sekali gus mengingkari arahan parti.
Pemecatan itu dilakukan oleh Shahidan atas kapasiti sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Pengerusi BN Perlis.
Azlan, 60, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar secara berseorangan tanpa kehadiran sembilan ADUN daripada BN. Bagaimanapun, dua ADUN Pas dan tiga ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghadiri majlis tersebut.
Difahamkan, sembilan ADUN BN kini berada di Kuala Lumpur termasuk Shahidan dan hanya akan pulang ke Perlis seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri. – K! ONLINE












