KUALA LUMPUR 27 Mei – Seorang penunggang motosikal maut dalam kejadian langgar lari di Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Shah Alam dekat sini semalam.
Ketika kejadian pada pukul 7.17 pagi itu, Goh Khung Hwee, 38, yang menunggang motosikal Honda Dash disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suspek pemandu kereta jenis Proton Iriz di percayai melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, siasatan awal mendapati suspek pemandu kereta telah melanggar mangsa dari belakang.
“Suspek menghilangkan diri dan meninggalkan mangsa seorang diri di lokasi kemalangan .
“Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zani, usaha mengesan dan menangkap suspek sedang dijalankan sehingga kini.
“Kes ini masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Mohd. Zani memberitahu, waris mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian dan pihak polis sedang mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.
“Siasatan dapati tiada Kamera Litar Tertutup (CCTV) di lokasi. Keadaan cuaca ketika itu baik, jalan kering dan laluan didapati lurus serta mempunyai tiga lorong,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











