PORT DICKSON – Seorang pelajar wanita Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) di sini ditemui mati dengan kesan jerut pada leher dipercayai dibunuh dekat kawasan semak di Taman PD Permata di sini kira-kira pukul 10.30 malam tadi.
Mangsa, Nur Alya Damia Hairi, 19, yang berasal dari Klang, Selangor ditemui oleh seorang penduduk yang ingin membuang sampah di kawasan tersebut pada pukul 10.30 malam.
Lelaki berkenaan yang terkejut dan ketakutan kemudian segera memaklumkan penemuan mayat itu kepada jiran sebelum menghubungi pihak polis.
Dalam pada itu, rakan sekelas mangsa, Ain Zulaikha Zamuri, 19, berkata, Nur Alya Damia keluar dari asrama berkenaan sekitar pukul 9 malam.
“Allahyarham sempat memaklumkan kepada kami yang dia ingin berjumpa teman lelakinya tidak jauh dari kawasan ini.
“Saya melihat seperti ada sesuatu yang ingin disembunyikan dan hati saya tidak sedap lalu menghubungi teman lelaki Nur Alya Damia tetapi saya diberitahu lelaki itu tidak bertemu dengannya,” katanya.
Cerita Ain Zulaikha lagi, dia dan rakannya tekad keluar mencari mangsa dengan menaiki motosikal dan terserempak dengan anggota polis serta orang ramai yang mengerumuni mayat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd. Faisal Mohd. Noor berkata, pemeriksaan awal memdapati kesan jerut pada leher mangsa dan dipercayai dibunuh.
“Bagaimanapun kami masih menjalankan siasatan terperinci di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Mayat dihantar ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat,” ujarnya.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan sama, difahamkan tiga remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan. – K! ONLINE










