Pelajar disaran persiap mental, fizikal - Utusan Malaysia

Pelajar disaran persiap mental, fizikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUDAT 31 Mei – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar semua pihak termasuk pelajar mempersiapkan diri dengan kecergasan fizikal, berani serta bersemangat waja agar dapat mendepani cabaran alaf baharu dan mengelakkan diri daripada pelbagai permasalahan sosial.

Memuatkan artikel berkaitan…
rmps-pelajar-3
 

Hal ini penting, titah baginda, kerana kemelut sosial semakin berleluasa dan boleh merosakkan minda dan jati diri.

“Jika hal ini dikesampingkan, sudah pasti ia bakal meranapkan generasi ini sekaligus menjejaskan usaha melahirkan bakal pemimpin yang berwibawa pada masa hadapan,” titah baginda.


Pelajar merupakan aset berharga negara, justeru, baginda berharap pelajar diberikan penekanan terhadap pegangan agama sebagai benteng pertahanan diri dan cara hidup mereka.

Tabiat hidup, tita baginda, haruslah diubah daripada yang kurang baik kepada yang lebih baik, bak kata pepatah “sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit” dan nilai-nilai ini mampu membentuk modal insan yang didambakan oleh semua pihak. 


“Marilah kita menyelamatkan anak-anak pelajar daripada terlalu mudah untuk hanyut melalui didikan agama yang sempurna. Sesungguhnya nilai-nilai agama serta akhlak adalah tunjang peribadi yang amat penting untuk setiap individu,” titah baginda. 


Demikian titah baginda yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis ketika berkenan berangkat merasmikan program ‘Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahim II, Kudat, Sabah’ baru-baru ini.


Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengetua sekolah Johari Hajat dan Ketua Penyelaras program Kapten Azuan Mohd Nasir.


rmps-pelajar-1
 

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa Dan Pustaka Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.


Program anjuran YTSP Perlis tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta pelbagai agensi lain.


Baginda juga menyeru kepada semua pihak agar membulatkan tekad serta hasrat ke arah mengekal dan mempertahankan keutuhan perpaduan dan keharmonian kaum serta agama di negeri dan negara ini. 


Bersempena kunjungan tersebut baginda turut berkenan merasmikan penjenamaan musolla sekolah sebagai ‘Surau Tuanku Syed Faizuddin Putra’ selain menanam pokok mempelam harumanis sebagai simbolik kenangan lawatan.


Baginda turut menyaksikan sumbangan pelbagai bentuk kepada pihak sekolah yang diterima oleh Johari daripada DBP, MAIPs dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta melawat bilik inovasi yang menempatkan pelbagai koleksi rekacipta menarik pelajar sekolah itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini