KUALA LUMPUR 25 Mei – Sime Darby Property Bhd. menjangka sentimen pengguna yang lebih berhati-hati selain pendekatan tunggu dan lihat oleh pelabur hartanah susulan perubahan dalam kerajaan Persekutuan.
![]() |
|
AMRIN AWALUDDIN
|
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, keyakinan pelabur yang kukuh dalam kepimpinan baharu dan komitmen kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi memberi prospek baik kepada sektor hartanah terutama tumpuannya kepada rumah mampu milik.
Katanya, komitmen itu memberi prospek yang baik kepada Sime Darby Property dengan strategi untuk melaksanakan rumah mampu milik di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
“Syarikat merancang untuk melancarkan sebanyak 709 unit hartanah bagi baki tiga bulan tahun kewangan 2018, termasuk 337 unit hartanah bertanah di Elmina West, dengan gabungan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak (GDV) RM632 juta.
“Sentimen pasaran secara keseluruhan agak berhati-hati tetapi pelancaran projek kami baru-baru ini di Serenia City, Bandar Bukit Raja dan Nilai Impian memberi sebab untuk kumpulan kekal optimis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengambil kira sentimen pasaran ketika ini, kumpulan telah memulakan inisiatif transformasi untuk meningkatkan kecekapan operasi dan prestasi kewangan.












