JOHOR BAHRU – Seorang pegawai Imigresen yang bertindak kasar ke atas seorang warga asing ketika berurusan di kaunter jabatan tersebut di Wisma Persekutuan di sini pagi tadi sehingga menjadi tular, bakal dikenakan tindakan disiplin
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Datuk Rohaizi Bahari berkata, pegawai terbabit telah dipindahkan daripada bertugas di kaunter hadapan pejabat jabatan itu.
Katanya, dalam laman Facebook, kementerian tersebut hari ini, tingkah laku berkenaan tidak dapat diterima, namun beliau tidak menyatakan apa bentuk tindakan tatatertib yang bakal diambil terhadap pegawai itu.
Rohaizi menambah, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9 pagi Rabu (30 Mei) di Pejabat Imigresen di Wisma Persekutuan.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dalam satu kenyataan berkata, kelakuan pegawai berkenaan menjejaskan imej jabatan itu dan bertentangan kod etika jabatan dan perkhidmatan awam.
“Tidak ada kompromi terhadap pegawai yang melanggar integriti sebegini dan tindakan serius akan diambil termasuk buang kerja terhadap pegawai yang melakukan kesalahan tersebut,” jelas kenyataan itu.
Tambah beliau, tindakan tatatertib berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan&Tatatertib 2002). – K! ONLINE










