PBT diarah pantau harga barang asas - Utusan Malaysia

PBT diarah pantau harga barang asas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 24 Mei – Kerajaan negeri meng­arahkan penguat kuasa agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memantau harga barangan bagi memastikan tiada kenaikan harga barangan sepanjang Ramadan dan menjelang perayaan Aidilfitri tahun ini.

R. SUMMUGAM

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpa­duan dan Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, R. Summugam berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan peniaga menjual barangan keperluan orang ramai dalam harga terka­wal seperti tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

“Penguat kuasa dan pegawai pemantau akan bergerak membuat tinjauan di kawasan yang dilaporkan mengalami peningkatan harga daging tempatan yang drastik di samping memastikan peniaga mematuhi skim kawalan harga yang ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan segelintir peniaga di negeri ini terutama di kawasan luar bandar yang menjual daging tempatan dengan harga tinggi sehingga mence­cah RM36 sekilogram berikutan permintaan yang tinggi dalam kalang­an pengguna.

Summugam berkata, pihaknya akan berbincang dengan semua pihak yang terlibat dalam perkara tersebut bagi mencari jalan keluar kepada masalah kenaikan harga itu.

“Kita meneliti perkara tersebut termasuk punca kenaikan harga tersebut dan dalam masa terdekat, kita mencari penyelesaian kepada permasalahan terbabit yang tidak menyebelahi mana-mana pihak,” katanya.

Katanya, pihaknya hanya bo­leh mengambil tindakan susulan berdasarkan laporan dan kajian yang dilakukan agensi terlibat bagi memahami punca masalah tersebut.

“Jika kemelut kenaikan harga barangan ini memerlukan perhatian lebih mendalam, kita akan bawa perkara ini ke peringkat le­bih tinggi bagi mencari jalan keluar yang memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN