PAUiTM bantah gesaan Hindraf buka UiTM kepada semua kaum - Utusan Malaysia

PAUiTM bantah gesaan Hindraf buka UiTM kepada semua kaum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Mei – Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) yang mewakili 700,000 alumni universiti berkenaan membantah tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang mendesak kemasukan UiTM dibuka kepada semua kaum.

Memuatkan artikel berkaitan…
PAUiTM
 

Presidennya, Datuk Mohd. Zaini Hassan berkata, PAUiTM berdiri teguh dan secara sebulat suara membantah sebarang cubaan untuk membuka kemasukan ke UiTM kepada kaum-kaum lain.

Katanya, ini berdasarkan premis bahawa kedudukan UiTM sebagai persada pendidikan peringkat tinggi untuk anak Melayu dan bumiputera adalah sebahagian daripada komponen hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Maka berdasarkan hakikat ini, sebarang langkah untuk mencabar keistimewaan itu dilihat sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun PAUiTM sedar bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu mengambil maklum sebarang tuntutan yang mewakili pelbagai masyarakat di negara ini, namun perkara berkenaan perlu ditangani dengan tegas bersama kesemua komponen kerajaan Pakatan Harapan dalam konteks pemeliharaan hak keistimewaan orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Zaini, PAUiTM bimbang kenyataan Hindraf seperti ‘menuang minyak ke api’ itu akan mencetuskan kemarahan umat Melayu dan bumiputera di negara ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, kenyataan berbaur hasutan seperti itu dihentikan sama sekali oleh mana-mana pihak sekali pun.

Pada masa, katanya, PAUiTM mencadangkan pihak kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan terus mencari jalan bagi memperkasakan lagi institusi pendidikan ulung bumiputera itu.

“Bagi memastikan UiTM tidak terus diganggu-gugat oleh mana-mana pihak lagi kami mencadangkan ia diletakkan di bawah satu inisiatif perlindungan Majlis Raja-Raja Melayu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini