Pasukan Khas Siasatan 1MDB telah bertemu Justo - Utusan Malaysia

Pasukan Khas Siasatan 1MDB telah bertemu Justo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 23 Mei – Pasukan Khas Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah berjumpa dengan warganegara Switzerland yang juga bekas pegawai PetroSaudi International Ltd., Xavier Andre Justo semalam bagi menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes berkenaan.

Pengesahan tersebut dibuat oleh bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang mengetuai secara bersama pasukan khas tersebut selepas menghadiri mesyuarat kali kedua siasatan kes tersebut di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini hari ini.

Bagaimanapun, Abu Kassim yang ditemui media enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan siasatan kes itu.

“Saya telah bertemu beliau semalam, ” katanya.

Selain Abu Kassim turut mengetuai secara bersama pasukan khas tersebut ialah bekas Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull dan bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.

Dalam pada itu ditanya sama ada pasukan khas itu sudah bersedia bagi mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok, Abu Kassim bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Tidak, saya tidak akan menjawab soalan ini, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan menerusi satu kenyataan,” katanya.

Difahamkan, pasukan petugas khas berkenaan mengadakan mesyuarat tersebut pada pukul 3 petang.

Terdahulu Justo dilihat berada di bangunan SPRM di sini sejak pukul 9 pagi tadi dipercayai bagi bertemu dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Justo sebelum ini telah dua kali bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamada yang mana pertemuan terakhir mereka diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini kelmarin.

Beliau merupakan individu pen­ting dalam skandal 1MDB dan sebelum ini, pernah didakwa berkongsi maklumat mengenai badan pelaburan berkenaan dengan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Selepas Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Dr. Mahathir mengarahkan siasatan 1MDB dibuka semula. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN