SERIAN 28 Mei – Seorang penunggang dan pembonceng motosikal dipercayai pasangan suami isteri maut setelah bertembung dengan sebuah lori satu tan di Jalan Kampung Gedong di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu, mangsa, Simon Pulin, 41, dan Jolia Asoi, 39, disahkan maut di lokasi kejadian oleh pihak perubatan hospital.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Bomba Sarawak, pihaknya menerima maklumat kemalangan tersebut pada pukul 10.28 pagi sebelum menggerakkan pasukan ke tempat kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati motosikal yang ditunggangi mangsa terbakar manakala kedua-dua penunggang motosikal telah tercampak ke tepi jalan raya.
“Bagaimanapun kedua mangsa disahkan telah meninggal dunia manakala pasukan bomba membuat pemadaman menggunakan satu aliran saluran bantu sehingga api padam sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini sebentar tadi.
Tambahnya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Bagi pemandu dan kelindan lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Operasi itu ditamatkan pada pukul 11.44 pagi tadi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE









