MARANG 11 Mei – Pas hari ini memutuskan untuk mengemukakan tawaran bagi pembentukan kerajaan perpaduan di Perak bersama-sama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Persetujuan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang berlangsung selama kira-kira hampir dua jam bermula pukul 3.30 petang ini di Pejabat Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) di Masjid Rusila dekat sini.
Mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disertai kesemua ahli jawatankuasanya termasuk Timbalan Mursyidul Am Pas yang Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.
Takiyudin yang mewakili Abdul Hadi, berkata, tawaran Pas bagi penubuhan kerajaan perpaduan (kerajaan tanpa pembangkang) itu adalah bersyarat iaitu kerajaan tersebut mesti diterajui seorang yang beragama Islam yang dipersetujui majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Islam.
“Bagi Exco kerajaan negeri pula majoritinya mesti ADUN beragama Islam,” katanya dalam sidang akhbar sejurud selesai mesyuarat khas itu petang ini. – UTUSAN ONLINE










