KUALA LUMPUR – Pas masih belum memutuskan siapa yang bakal menjadi Menteri Besar Terengganu selepas berjaya merampas kembali negeri itu daripada Barisan Nasional (BN).
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, calon menteri besar itu akan diumumkan kemudian.
Katanya, Pas juga menyerahkan kepada pihak istana masa yanng sesuai untuk menghadap Sultan Terengganu.
“Itu akan atur, insya Allah, itu terpulang kepada pihak Tuanku, pihak istana,” katanya pada sidang akhbar di Rusila sebentar tadi seperti yang dipetik dari laman Facebook parti itu.
Mengenai calon menteri besar Abdul Hadi berkata: “Itu ada dalam fikiran kami, akan diumumkan kemudian.”
Mengenai barisan exco kerajaan negeri, beliau berkata ia akan dipertimbangkan mengikut latar belakang calon Pas yang menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) un pada PRU14.
Ini, katanya kerana mereka terdiri daripada kalangan agamawan, profesional dan rakyat.
“Oleh kerana calon kita terdiri daripada berbagai kalangan, termasuk agamawan, professional dan rakyat, Exco akan ditimbang mengikut peranan yang munasabah,” jelasnya.
Semasa berucap sebelum itu, beliau menyeru ahli-ahli dan para penyokong Pas supaya bersyukur di atas kemenangan yang dikurniakan oleh Allah itu.
Beliau bagi pihak Pas juga mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang telah membuat liputan sepanjang kempen PRU14.
Sementara itu, Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Husain Awang berkata, Pas Berjaya menguasai semula negeri ini setelah memenangi 21 daripada 32 kerusi DUN pada PRU14.
Beliau mengumumkan kerusi-kerusi DUN yang dimenangi iaitu Kota Putera, Jabi, Tepoh, Buluh Gading, Bukit Tunggal, Wakaf Mempelam, Bandar, Ladang, Batu Buruk, Alur Limbat, Bukit Payong, Ru Rendang, Pengkalan Berangan, Manir, Kuala Berang, Rantau Abang, Sura, Paka, Kemasik, Cukai dan Air Putih.
Bagaimanapun, jelas pihak Pas negeri sedang menunggu keputusan perjumlahan undi bagi kerusi DUN Bukit Besi dan pengiraan semula bagi kerusi DUN Ajil.
Menurutnya, jika Pas memenangi dua kerusi DUN itu atau salah satu daripadanya bermakna Pas mencapai kemenangan mutlak iaitu majoriti dua pertiga daripada kerusi DUN.










