Para peniaga bazar Ramadan digalak guna pembungkus mudah lupus, mesra alam - MBSA - Utusan Malaysia

Para peniaga bazar Ramadan digalak guna pembungkus mudah lupus, mesra alam – MBSA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 24 Mei – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menggalakkan para peniaga bazar Ramadan di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu menggunakan pembungkus makanan dan minuman daripada bahan mudah lupus serta mesra alam.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad berkata, penggunaan bahan-bahan mesra alam itu dilihat penting bagi memastikan kawasan bandar raya itu bebas daripada isu pencemaran selain menjamin persekitaran hidup yang lebih sihat.

Selain penggunaan bahan mudah lupus, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya membawa beg atau bekas sendiri untuk mengisi bahan makanan yang dibeli bagi mengelakkan penggunaan beg plastik.

“MBSA sendiri setiap tahun terpaksa memperuntukkan kewangan yang besar bagi menguruskan sisa pepejal termasuk plastik.

“Justeru, langkah orang ramai membawa beg sendiri dan para peniaga menggunakan bungkusan bahan mudah lupus bukan sahaja membantu menangani isu pencemaran, tetapi membantu MBSA menjimatkan perbelanjaan pengurusan sisa pepejal,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan sempena Program Bazar Mampan di tapak bazar Ramadan di Seksyen 17, di sini semalam.

Tambah Ahmad Zaharin, pihaknya sendiri telah menggerakkan inisiatif melarang penggunaan pembungkusan makanan dan minuman dari bahan polisterin kepada para peniaga di bawah ‘Kempen Pengurangan Beg Plastik Dan Bebas Polisterina Shah Alam’ pada tahun ini.

“Bagi bulan Ramadan tahun ini, MBSA mengeluarkan 1,971 permit kepada peniaga membabitkan 33 lokasi bazar Ramadan di sekitar Bandaraya Shah Alam. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×