Pakatan Harapan diharap beri lebih tumpuan terhadap isu rakyat - Utusan Malaysia

Pakatan Harapan diharap beri lebih tumpuan terhadap isu rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) berharap agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baharu dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semalam dapat membantu memperluaskan fungsi serta memberi lebih tumpuan terhadap isu-isu diperjuangkan mereka.

Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, kemenangan PH menumbangkan BN adalah disebabkan kejayaan parti gabungan DAP, PKR, Amanah dan PPBM itu menumpukan isu-isu semasa sebagai intipati manifestonya.

Antaranya termasuklah agenda gaji minimum, rumah mampu milik dan rakyat sebagai warga pekerja dengan pendapatan tinggi pada tahun 2020.

“Rakyat hari ini bijak menilai sesebuah parti melalui apa ditawarkan. Sudah dua kali rakyat memberi isyarat kepada BN sebelum ini melalui PRU-12 dan PRU-13 apabila menidakkan dua pertiga majoriti kepada gabungan berkenaan.

“Akhirnya pada PRU kali ini, PH di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya menggunakan isu-isu semasa yang begitu dekat di hati rakyat terutamanya berikutan kenaikan kos sara hidup yang memberi kemenangan besar kepada mereka,” katanya kepada Bernama.

PH menggunakan logo Parti Keadilan Nasional (PKR) pada PRU-14, yang juga dianggap sebagai ‘ibu segala pilihan raya’ dan memenangi majoriti mudah dengan memperoleh 113 daripada 222 kerusi Parlimen. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×