Orang ‘jauh’ sanggup beli baju raya di KL - Utusan Malaysia

Orang ‘jauh’ sanggup beli baju raya di KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Mei – Bukan sahaja rakyat tempatan malah rakyat asing dari negara jiran tidak mahu ketinggalan membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan mengunjungi pusat beli-belah di sekitar ibu negara.

WADIANANTY

Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Masjid India di sini mendapati orang ramai mengambil kesempatan cuti hujung minggu membeli-belah pada empat hari pertama Ramadan sebagai persiapan awal menjelang hari lebaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelancong dari Brunei, Wadiananty Abdullah, 55, berkata, setiap tahun dia akan ke Malaysia untuk membeli barangan sambutan hari raya.

“Selain baju raya, saya suka borong serunding di sini sebagai juadah istimewa untuk tetamu pada hari lebaran kerana rasanya yang sangat sedap.

“Saya sanggup datang dari jauh semata-mata untuk membeli-belah kerana selain bermutu, harga jualan barangan di sini juga sangat murah dan berbaloi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Rohana Nayan
ROHANA NAYAN

Sementara itu, Rohana Nayan, 53, dari Kedah berkata, dia suka buat persediaan awal membeli-belah persalinan hari raya supaya tidak terkejar-kejar pada penghujung Ramadan selain dapat memilih kepelbagaian pilihan warna dan potongan baju yang terkini.

“Baju raya untuk anak-dan keluarga saya akan sediakan awal kerana tidak mahu bersesak-esak dengan orang yang lebih ramai pada penghujung Ramadan menjelang 1 Syawal.

“Saya tidak beli kuih raya kerana bagi saya adalah lebih berbaloi buat sendiri di rumah, jadi saya perlu tumpukan persediaan persalinan baju raya untuk keluarga sahaja,” katanya.

Fatin Nor Syafiqah
FATIN NOR SYAFIQAH

Seorang lagi pelanggan, Fatin Nor Syafiqah, 25, berkata, persiapan awal raya difokuskan untuk anak terlebih dahulu.

Katanya, Jalan Masjid India merupakan ‘lubuk’ pakaian kanak-kanak menerusi pelba­gaian pilihan dan bermutu seperti jenama-jenama di pasar raya, dengan harga yang jauh lebih murah.

Selain itu, tinjauan juga mengenal pasti peniaga yang telah lama bertapak di sini, Mohd Hasrul Hisham, 33, mengajak orang ramai datang pada dua minggu terakhir bulan puasa bagi mendapatkan harga runtuh dan lelongan besar-besaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini