Nor Atikah Maisarah korban zaman kanak-kanak - Utusan Malaysia

Nor Atikah Maisarah korban zaman kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 31 Mei – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun melalui hari-harinya tidak seperti kanak-kanak lain apabila terpaksa mengambil alih tugas ‘ibu’ bagi menjaga adik serta menguruskan ayahnya yang mengalami masalah kesihatan.

Nor Atikah Maisarah Mohd. Zaidi dari Kampung Gertak Kechupu, Sering, di sini, mengorbankan zaman kanak-kanaknya demi adik, Nor Atikah Waheeda,10, dan ayahnya Mohd. Saidi Mohd. Nor, 51, termasuk memasak dan membasuh pakaian.

Lebih memeritkan, mereka sekeluarga kini kehilangan sumber pendapatan apabila Mohd. Saidi yang sebelum ini bekerja sebagai buruh tidak lagi mampu bekerja kerana mengalami masalah saraf selain kedua-dua belah matanya menjadi kabur akibat kemalangan pada Februari lalu.

Menurut Nor Atikah Maisarah, ibu dan ayahnya telah berpisah sejak enam tahun lalu dan sejak itu, ayahnya menjaga dan menguruskan mereka sekeluarga.

“Saya belajar uruskan rumah dan memasak sejak umur 8 tahun lagi ketika ayah keluar bekerja. Selepas ayah terlibat dalam kemalangan, saya mengambil alih sepenuhnya tugas ini.

“Bulan puasa ini, saya bangun pukul 3.30 pagi untuk sediakan makanan bersahur,” katanya.

Dia ditemui pemberita sempena Program Kita Kongsi anjuran Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) serta Hotel Grand River View (GRV) di sini, semalam.

Dalam kunjungan itu, wakil Kemudi, Hazira Ahmad Zaidi bersama dengan Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel GRV, Raja Rusmin Datuk Raja Mahmud menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

Dalam pada itu, Nor Atikah Maisarah berkata, akibat kesempitan hidup, dia dan adiknya terpaksa mengikat perut setiap kali waktu rehat kerana tiada wang untuk membeli makanan.

“Di sekolah, kami hanya bergantung kepada Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang disediakan pada sebelah pagi sahaja dan kami akan menahan lapar sehingga pulang ke rumah.

“Kami juga sering dibantu oleh guru dan rakan-rakan yang sentiasa sudi menghulurkan sumbangan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh terus ke akaun Bank Rakyat Mohd. Saidi (221051348806) atau menghubungi wakil Kemudi, Rosmiza Kasim di talian 012-8488301. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN