KUALA LUMPUR 12 Mei – Tiada kejayaan tanpa kesungguhan. Itu rumusan bagi menggambarkan kesungguhan Puan Sri Shariffa Nisa Syed Hamid dalam usaha beliau mempromosikan masakan Malaysia ke persada antarabangsa.
Shariffa Nisa yang lebih dikenali sebagai Nisa Bakri berkata, pencapaian mengagumkan beliau dalam bidang masakan menjadi tunjang kekuatan untuk memajukan lagi bidang tersebut dengan mengetengahkan menu masakan terbaharu di London, United Kingdom (UK).
Katanya, tiga menu masakan Malaysia yang diciptanya sebagai sentuhan pertama untuk dirasai masyarakat UK iaitu Ayam Masala, Ayam Lemak Betutu dan Kari Sayuran.
“Penampilan ini bertujuan ‘menjual’ nama negara di peringkat global menerusi masakan berkonsepkan kesihatan, selain keinginan untuk bersaing dengan menu dari negara luar, antaranya Pakistan dan China.
“Saya menggunakan platform pasaran arus perdana (mainstream market) iaitu televisyen, laman sesawang dan video untuk mempromosikan usaha tersebut dan setakat ini alhamdulillah, diterima baik oleh mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Menurut isteri kepada bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin itu, kesungguhannya dalam menyempurnakan misi tersebut berbaloi apabila beliau bakal dijemput untuk bersiaran ke udara menerusi saluran televisyen dan dalam talian di UK tidak lama lagi.
“Lebih membanggakan apabila saya juga berpeluang memenuhi slot jemputan program masakan bersempena Program Minggu Fesyen London pada September tahun ini.
Nisa yang juga penulis buku masakan, I am not a chef dan pernah muncul beberapa kali di kaca televisyen tempatan memberitahu, kejayaan itu tidak akan mungkin dicapai tanpa kajian mendalam selama dua bulan terlebih dahulu mengenai menu masakan tersebut.
“Saya berharap sasaran menembusi pasaran antarabangsa ini membuahkan hasil memberangsangkan selaras dengan iltizam untuk menaikkan imej negara dan mengembangkan bidang perniagaan melalui produk Nisa Bakri,” katanya.










