BENTONG 30 Mei – Seorang warga emas dan cucunya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) rentung selepas rumah mereka di Kampung Baru Cina Repas di sini terbakar awal pagi ini.
Mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah Long Sing Kiew, 78, dan cucunya, Chong Wei, 20.
Kebakaran kira-kira pukul 1.22 pagi itu turut menyebabkan seorang mangsa yang berusia 56 tahun cedera.
Pegawai Kanan Bomba Zon II negeri, Shahrin Yusmar Mat Yusof
berkata, kejadian kebakaran berkenaan memusnahkan empat buah rumah dan menjejaskan empat buah rumah lagi.
“Mangsa pertama yang merupakan seorang warga emas ditemukan pada pukul 2.13 pagi manakala mangsa kedua ditemukan pada pukul 2.46 pagi.
“Kedua-dua mangsa yang rentung diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Bentong untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










