SEREMBAN – Kerjasama pintar antara jabatan dan agensi kerajaan negeri harus digandakan bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, semangat pemuafakatan menerusi penganjuran program bersama sesama jabatan dan agensi kerajaan dapat dibentuk dan boleh memberikan hasil yang memuaskan semua pihak.
“Program seumpama ini seiring dengan hasrat kerajaan negeri yang ingin melihat suatu permuafakatan ditampilkan bagi melahirkan masyarakat sejahtera. Justeru, saya berharap agar semua pihak dapat melaksanakannya dengan sebaik mungkin,” katanya pada majlis perasmian dan pelancaran program Negeri Sembilan Beri’tikaf 2018 di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Selamat Paigo, Pengarah Pendidikan negeri Pkharuddin Ghazali dan Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Yusof Ahmad.
Beliau berkata, sebanyak 40 masjid di negeri ini terpilih menjadi tuan rumah pada program tiga hari anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri serta Jabatan Pendidikan negeri bermula 5 Jun depan dan akan disertai 1,615 pelajar daripada 49 sekolah terpilih. – Bernama









