PUTRAJAYA – Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak beredar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 3.15 petang tadi.
Bekas Perdana Menteri bersama peguamnya yang juga bekas Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden meninggalkan bangunan SPRM selepas lima jam memberi keterangan.
Najib, diminta hadir memberi keterangan berhubung siasatan skandal penyelewengan dalam SRC International Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat 1Malaysia Development (1MDB).
Najib ketika ditemui berkata, pada hari Khamis ini beliau akan datang semula ke SPRM untuk menyerahkan dokumen berhubung SRC.
Kertas siasatan skandal tersebut sebelum ini ditutup dan dibuka semula dengan arahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang mengambil alih pentadbiran negara selepas Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
Dalam pada itu, kira-kira 100 anggota media terdiri daripada jurugambar dan wartawan dalam dan luar negara membuat liputan kes membabitkan bekas Perdana Menteri ini. – K! ONLINE











