Najib dipanggil SPRM Selasa ini - Utusan Malaysia

Najib dipanggil SPRM Selasa ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Mei – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipanggil ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada Selasa ini berhubung siasatan kes SRC International Sdn. Bhd.

Menurut sumber, notis perintah agar bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu hadir ke ibu pejabat SPRM diserahkan oleh pegawai suruhanjaya berkenaan di kediaman beliau di Jalan Langgak Duta di sini hari ini.

“Beliau diminta hadir untuk siasatan kes SRC International dahulu dan bukannya dana RM2.6 bilion ,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, SPRM telah membuka kertas siasatan berhubung kes penyelewengan SRC International dan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun milik bekas Perdana Menteri itu.

Najib bagaimanapun menafikan salah laku berkaitan dakwaan rasuah membabitkan 1MDB dan menegaskan RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun bank miliknya adalah sumbangan kerajaan Arab Saudi.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum ini juga pernah mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan oleh bekas Perdana Menteri berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.

SRC International adalah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia dile­takkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Sementara itu, Tinjauan Utusan Malaysia di kediaman bekas Presiden UMNO itu di Jalan Langgak Duta di sini mendapati dua kereta berwarna perak tanpa logo SPRM memasuki kediaman terbabit pada pukul 3.50 petang.

Hasil pemerhatian mendapati, kereta tersebut dinaiki lapan individu yang mengakui dari suruhanjaya tersebut dan mereka berada di kediaman bekas Perdana Menteri kira-kira sejam setengah sebelum beredar pada pukul 5.41 petang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×