ROME – Jelitawan tenis Rusia, Maria Sharapova mendedahkan, dia tidak sangka mendapat kebenaran untuk berlatih bersama jaguh tenis dunia, Rafael Nadal menjelang persiapan kejohanan Terbuka Itali yang rancak berlangsung ketika ini.
Sharapova menjelaskan, ketika itu dia melihat Nadal berlatih di gelanggang bersebelahan sebelum meminta izin kepada jaguh dunia tersebut untuk menjalani latihan bersama di gelanggang tanah liat di Foro Italico semalam.
Meskipun teruja, Sharapova mengakui sangat berdebar meskipun hanya berpeluang memukul bola sepanjang dua minit latihan.
“Saya nampak dia berlatih di gelanggang sebelah, dekat dengan saya, jadi saya katakan kepada pasukan saya alangkah baiknya saya bertemu Nadal dan menjalani latihan bersama saya.
“Pasukan saya menjelaskan tindakan itu tidak salah dan saya terus berjumpa Nadal untuk berlatih bersamanya. Dia (Nadal) mesti anggap saya sangat pelik kerana tindakan tersebut.
“Namun saya rasa, sampai sekarang dia masih fikir saya sangat pelik,” kata Sharapova selepas melangkah ke pusingan kedua dengan mengalahkan pemain Australia, Ashleigh Barty semalam.
Pada perlawanan seterusnya, juara Grand Slam lima kali tersebut akan bertemu Dominika Cibulkova untuk memburu trofi yang pernah dimenangi sebanyak tiga kali pada 2011, 2012 dan 2015.
“Impian saya sudah pasti mahu merangkul kemenangan dan saya yakin perlawanan musim ini tidak mudah. Perjalanan masih jauh dan saya akan bermain dengan baik. Saya akui Cibulkova seorang pemain yang hebat dan saya akan berhati-hati,” ujarnya. – Agensi










