MELAKA 22 Mei – MyPPP negeri mendakwa Tan Sri M. Kayveas tidak lagi memegang jawatan Presiden parti itu, sekali gus enggan bekerjasama terutama berhubung keputusan untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN).
Pengerusi MyPPP negeri, Datuk Chiw Tiang Chai berkata, Kayveas hanya mengeluarkan kenyataan yang ‘bukan-bukan’ dan mengakibatkan ahli-ahli di Melaka berasa tidak yakin lagi dengan dirinya.
“Beliau (Kayveas) telah dipecat oleh Ahli Majlis Tertinggi MyPPP yang bermesyuarat pada 24 April lalu. Ahli Majlis Tertinggi telah bersetuju bahawa Tan Sri M. Kayveas telah tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai Presiden dengan membuat beberapa kenyataan tanpa persetujuan dan mesyuarat bersama Ahli Majlis Tertinggi dalam membuat sesuatu keputusan.
“Ingin dijelaskan, apa sahaja tindakan yang dibuat oleh Tan Sri M. Kayveas adalah tidak sah, tidak mewakili MyPPP dan beliau sama sekali tidak mempunyai hak untuk melantik pimpinan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar berhubung pendirian MyPPP negeri di samping menyatakan kesetiaan untuk kekal dalam BN di pejabatnya di sini hari ini.
Baru-baru ini, Kayveas mengumumkan MyPPP secara rasmi mengakhiri hubungan dengan BN berkuat kuasa serta-merta dan bakal bergerak sendiri sebagai parti yang menyokong kerajaan sedia ada.
Menurutnya, keputusan berkenaan dilakukan selepas menerima surat rasmi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) semalam, yang mengesahkan beliau masih bergelar Presiden MyPPP yang sah. – UTUSAN ONLINE











