KOTA KINABALU 26 Mei – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman tidak dapat dihubungi keluarga terdekat selepas kali terakhir bertemu di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini pada 10 Mei lalu.
![]() |
|
ANIFAH
|
Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang juga adik kepada Musa berkata, beliau dan keluarga terdekat juga tidak mengetahui kedudukan terkini Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu.
“Saya sudah lama tidak berhubung dengan beliau. Kali terakhir kita bertemu di Sri Gaya. Saya yakin dia ‘ok’,” katanya ketika ditemui selepas hadir di Majlis Berbuka Puasa, di sini hari ini.
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Mohd. Ariffin Arif; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Pairin Joseph Kitingan; Timbalan Presiden Persatuan Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Kurup dan ADUN Karanaan, Datuk Masidi Manjun.
Anifah berkata, beliau berharap abangnya akan pulang ke pangkuan keluarga untuk menyambut perayaan Aidilfitri kelak.
“Cukuplah berpolitik, rehatlah dan kembali sebagai seorang yang kuat. Mari berkumpul dengan keluarga pada Hari Raya nanti,” katanya.
Mengulas mengenai situasi politik yang dihadapi Musa sehingga menjadi buruan polis, Anifah berkata, abangnya seorang yang kuat.
“Dia tidak perlukan saya dalam perjuangannya. Dia berjuang sendiri dan saya yakin dia seorang yang kuat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE












