KOTA KINABALU 31 Mei – Polis masih giat mengesan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman untuk diambil keterangan susulan laporan polis yang dibuat oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada 14 Mei lalu.
![]() |
|
Datuk Ramli Din
|
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, sehingga hari ini Musa yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu masih belum tampil memberi keterangan.
“Beliau masih belum hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Maklumat yang diperoleh setakat ini mendapati Musa dipercayai tiada di Sabah,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Bagaimanapun, ditanya lokasi terkini keberadaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu Ramli enggan menggulas lanjut.
Pada masa sama, tiada waran tangkap dikeluarkan terhadap Musa pada ketika ini.
Terdahulu, seramai sembilan saksi termasuk Juhar telah tampil memberi keterangan sepanjang siasatan dijalankan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. – UTUSAN ONLINE











