KOTA KINABALU 26 Mei – Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman sehingga kini masih gagal hadir di mana-mana balai polis di seluruh negeri meskipun telah diminta tampil bagi membantu siasatan berkaitan ugutan jenayah ke atas Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Musa dikatakan tidak pernah kembali ke negeri ini sejak berlepas ke Kuala Lumpur pada 14 Mei lalu untuk menghadiri mesyuarat ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Spekulasi yang bertiup kencang mengatakan beliau telah meninggalkan negara dari Kuala Lumpur sebelum ini, namun tidak diketahui lokasinya.
Tinjauan Utusan Malaysia di kediaman Musa di Taman Fook Tin, Luyang di sini mendapati tiada sesiapa di rumah itu, malah pagar utamanya dikunci rapat.
Sementara itu, seorang pegawai kanan beliau ketika dihubungi turut mengelak daripada memberitahu kepada media di mana lokasi sebenar Musa.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din ketika dihubungi tidak menyatakan di mana lokasi Musa, sebaliknya meminta pemimpin itu tampil membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Boleh minta (Musa) tampil untuk bantu siasatan segera,” katanya ringkas melalui pesanan aplikasi WhatsApp. – UTUSAN ONLINE











