KOTA KINABALU 26 Mei – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman akan menzahirkan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melalukan siasatan terhadapnya.
Peguamnya, Zahir Shah dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan, pihak berkuasa itu dijemput untuk ke kediamannya bagi menjalankan siasatan tersebut.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan di mana Musa berada ketika ini.
Musa sebelum ini dikehendaki Polis Sabah bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuat Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkaitan ugutan jenayah.
Rabu lalu, SPRM juga telah hadir ke kediamannya di sini, bagai menyiasat berhubung perkara tersebut, namun tidak berjaya memasuki kediaman itu kerana beliau tiada di rumah.
Ia dipercayai ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – UTUSAN ONLINE











