SHAH ALAM 28 Mei – Management & Science University (MSU) terus mengekalkan tradisi pengisian Ramadan dengan menyerahkan sumbangan zakat serta duit raya dalam meraikan anak yatim serta rakan industri.
Presiden MSU, Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yazid berkata, program yang bertujuan khas menghidupkan budaya bersyukur itu menampilkan seramai 230 anak yatim dari 23 buah rumah anak-anak yatim dan kebajikan di sekitar Lembah Klang.
“Sumbangan zakat dan duit raya bernilai RM149,500 hari ini adalah kepada 23 buah rumah anak yatim dan kebajikan termasuk kepada 230 orang penghuninya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Zakat dan Iftar MSU di sini hari ini.
Yang hadir sama Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin dan Naib Canselor MSU, Datuk Sri Junainah Abd. Hamid.
Tambah Mohd. Shukri, majlis penyerahan zakat tersebut adalah sebahagian daripada program MSU Ihya Ramadhan 2018 serta acara tradisi yang mencermin komitmen universiti dalam memenuhi tanggungjawab terhadap komuniti.
“MSU Ihya Ramadhan 2018 menyaksikan perlaksanaan aktiviti-aktiviti kebajikan termasuk zakat, iftar, bersahur, tarawih, pengagihan bubur lambuk, qiamullail, khatam al-Quran, bantuan baju raya dan banyak lagi melibatkan warga kampus dan komuniti di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE











