KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal terus berteka-teki mengenai status pelantikannya sebagai Ketua Menteri Sabah yang dijangka mengangkat sumpah malam ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senalang itu bagaimanapun, mengukirkan senyuman tatkala menerima ucapan tahniah daripada pengamal media.
“Saya tidak memakai baju angkat sumpah pun…lagipun saya mahu mengadakan mesyuarat seketika,” katanya ringkas ketika keluar dari kediamannya kira-kira pukul 12 tengah hari di sini hari ini.
Mengulas mengenai kesahihan beliau akan menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, beliau masih menunggu berita daripada pihak istana.
“Saya masih menunggu berita daripada pihak istana,” jelasnya.
Terdahulu, Naib Presiden Warisan, Darrel Leiking mendedahkan, Mohd. Shafie dijangka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada pukul 9 malam ini.
Beliau berkata, pihak istana pasti melaksanakan peralihan kuasa mengikut undang-undang dan berharap kerajaan di bawah Tan Sri Musa Aman bersedia melepaskan jawatan.
“Saya yakin Sabah sudah matang dalam isu peralihan kuasa. Kita juga berharap Tan Sri Musa meletakkan jawatan dengan penuh maruah dengan mengikut peraturan,” ujar Darell.
Khamis lalu, Musa merangkap Ketua Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah membentuk kerajaan dan melantik barisan menteri kabinet selepas memperoleh majoriti 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) hasil kerjasama Parti Solidariti Sabah (Star).
Setakat ini, Warisan dan Pakatan Harapan mempunyai kapasiti membentuk kerajaan negeri baharu dengan memiliki 35 kerusi DUN selepas enam Ahli Dewan Undangan Negeri daripada BN lompat parti sertai gabungan berkenaan. – K! ONLINE










