MOF bayar hutang 1MDB sejak April 2017 - Utusan Malaysia

MOF bayar hutang 1MDB sejak April 2017

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementeian Kewangan (MOF) membayar obligasi hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak  April tahun lepas, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan senarai pembayaran oleh MOF, bagi pihak 1MDB, berjumlah RM6.98 bilion, termasuk pembayaran yang dibuat kepada Petroleum Investment Company (IPIC) yang merupakan sebahagian daripada Perjanjian Penyelesaian berjumlah RM5.05 bilion.

“Ini mengesahkan syak wasangka orang ramai bahawa 1MDB sebenarnya memperdaya rakyat Malaysia dengan mendakwa hutang itu dibayar menerusi  ‘proses rasionalisasi yang berjaya’.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selama ini MOF yang membayar hutang 1MDB,” katanya pada sidang akhbar pertamanya selepas dilantik sebagai  Menteri Kewangan
Beliau berkata senarai pembayaran setakat ini hanya melibatkan faedah, pembayaran kupon dan pendahuluan daripada IPIC.

“Ini belum mengambil kira berbilion ringgit hutang yang perlu dibayar mulai tahun 2022.

“Saya dimakumkan bahawa selain RM143.75 juta yang perlu dibayar pada akhir bulan ini, sejumlah RM810.21 juta faedah perlu dijelaskan antara bulan September dan November tahun ini,” katanya.

Guan Eng yang sebelum itu mengadakan siri mesyuarat bersama semua pegawai kanan Perbendaharaan yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Siti Zauyah Mohd. Desa dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad, mengarahkan kajian mendalam dilakukan mengenai butiran hutang dan liabiliti 1MDB dan mencadangkan langkah untuk menyelesaikan krisis yang berlaku akibat skandal tersebut.

“Kami juga akan mengemukakan hasil semakan itu kepada pasukan petugas 1MDB yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN