SEPANG – Perdana Menteri India, Narendra Modi tiba di Malaysia hari ini untuk bertemu Perdana Menteri Malaysia yang baharu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pesawat khas, penerbangan AI OO1 dari Indonesia, membawa Modi dan delegasinya mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira 11 pagi.
Beliau disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Ramlan Ibrahim. Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Mridul Kumar.
Perdana Menteri India itu yang dalam perjalanan ke Singapura, singgah sebentar di Malaysia untuk mengucapkan tahniah kepada Mahathir berikutan kejayaan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas.
Beliau tiba di Perdana Putra di sini pada 11.35 pagi dan disambut oleh Mahathir. Kedua-dua pemimpin itu kemudian ke Tingkat 5 Pejabat Perdana Menteri untuk perbincangan selama hampir sejam.
Modi menerusi akaun Twitter rasmi beliau @narendramodi, dalam bahasa Melayu dan Inggeris mengatakan bahawa beliau gembira dapat bertemu Mahathir.
“Saya bergembira untuk bertemu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Saya berterima kasih kepadanya untuk sambutan yang baik. Kami mengadakan perbincangan yang produktif untuk memperkukuhkan lagi kerjasama di antara India-Malaysia,” katanya.
Akaun rasmi Twitter Mahathir @chedetofficial turut memuat naik gambar beliau bersama Modi: “Receiving courtesy visit by Prime Minister of India, His Excellency The Honourable Narendra Modi. (Menerima kunjungan daripada Perdana Menteri India, Narendra Modi). Selamat Datang ke Malaysia!”
Ini merupakan pertemuan pertama antara dua pemimpin itu. Lawatan terakhir Modi ke Malaysia adalah pada 23 November 2015. – Bernama









