PARIS – Musim lalu menyaksikan bintang tenis Rusia, Maria Sharapova cukup kecewa selepas dihalang beraksi pada Terbuka Perancis, namun kali ini dia kembali mewarnai kejohanan tersebut serta menambahkan saingan hebat untuk para peserta yang bertanding.
![]() |
|
SHARAPOVA tidak dapat menyertai Terbuka Perancis musim lalu ekoran masalah ranking dan kali ini dia tampil lebih bersemangat untuk memburu gelaran ketiga pada kejohanan itu.
|
Juara dua kali Terbuka Perancis itu tidak dibenarkan beraksi musim lalu ekoran kedudukan rankingnya yang tidak melayakkannya beraksi selain turut gagal mendapatkan slot wild card selepas kembali daripada penggantungan selama 15 bulan ekoran didapati positif bahan terlarang.
Bekas pemain No. 1 dunia itu menjunam ke kedudukan 173 dunia selepas kembali ke gelanggang tetapi kini sudah berjaya menempatkan diri di kelompok 30 pemain terbaik dunia untuk menempah slot di sesi undian utama Terbuka Perancis kali ini.
Minggu lalu, Sharapova sempat menjalani sesi latihan bersama Rafael Nadal ketika kedua-dua mereka menyertai Kejohanan Terbuka Rome.
“Di sebalik gaun hitam dan hiasan kristal Swarovski, terdapat seorang wanita yang memiliki kekuatan dan terus berjuang menghadapi segala cabaran. Begitu juga dengan saya yang akan terus berjuang untuk kembali ke prestasi lama.
“Saya bertemu Nadal sebelum ini dan dia menjangkakan saya menjadi seorang yang aneh. Kami sempat berlatih bersama untuk beberapa ketika dan ia seperti mencari keserasian untuk beraksi di gelanggang tanah liat,” katanya.
Seperti Nadal yang digelar raja gelanggang tanah liat, Sharapova turut mengakui bahawa dia juga selesa beraksi di atas permukaan seperti itu.
Pada musim 2014, Sharapova muncul sebagai pemain mencatat kemenangan paling banyak di gelanggang tanah liat dan kali ini selepas berjaya berdepan segala dugaan, ramai pemerhati menjangkakan pemain berusia 31 tahun itu akan kembali menyinar. – Agensi











