SIK 27 Mei – Permintaan seorang lelaki untuk memakai baju putih rupa-rupanya menjadi petanda dia pergi buat selama-lamanya setelah maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Syed, Sungai Tiang dekat Pendang semalam.
![]() |
|
ZULKIFLY ABU BAKAR
|
Menurut isterinya, Noorlela Ismail, 37, dia juga melihat perubahan pada mangsa Zulkifly Abu Bakar, 40, yang tidak ceria dan tidak banyak bercakap beberapa hari lepas
namun tidak menyangka apa-apa yang buruk akan menimpanya.
“Saya merasa agak pelik dengan sikapnya, apatah lagi apabila arwah memilih baju putih untuknya ketika kami membeli-belah untuk Hari Raya, Jumaat lepas dan mahu memakainya segera.
“Rupanya, itu adalah petanda dia akan pergi dahulu, tambah sedih apabila bulan Ramadan ini, dia pergi begitu sahaja meninggalkan saya dan empat lagi anak-anak yang masih kecil,” kata Noorlela ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpang Tiga Begia, Jeneri, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, Zulkifly yang juga merupakan kakitangan KEDA meninggal dunia di tempat kejadian setelah kereta Perodua Kancil dinaiki bersama dua anaknya, Muhammad Anas Qhuzairy, 13, dan Muhammad Aqil Haziq, 7, bertembung dengan sebuah pikap Isuzu Dmax.
Menurut Norlela, kebiasaannya arwah membawa lori untuk beli barangan jualan kedai makanan ternakan mereka di Begia, Jeneri, namun pada hari kejadian dia beria-ia mahu membawa kereta tersebut.
Bagaimanapun, Noorlela reda dengan kejadian yang menimpanya dan merasa bersyukur dua anaknya mengalami cedera dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah Alor
Setar.
Dalam pada itu, menurut Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Fadzil Hashim, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu pikap berkenaan gagal
mengawal kenderaannya ketika tiba di lokasi kejadian lalu terbabas ke laluan bertentang dan merempuh kereta dinaiki tiga beranak itu.
“Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat,” katanya. – UTUSAN ONLINE












