BIAR tidak popular asalkan perjalanan kerjaya seninya sentiasa berjalan lancar. Pegangan mudah ini disimpan kemas dalam diri Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 28, dalam usaha mengukuhkan kedudukan dan demi masa depan yang lebih terjamin.
Dalam misi melengkapkan sasaran berkenaan, bintang filem Girlfriend Kontrak ini sama sekali tidak memandang isu ‘dikenali atau tidak’, jauh sekali menganggap ia sebagai satu formula melayakkan dirinya masuk dalam kelompok artis sedia ada.
Selagi ada masa, wanita ini akan memerah seluruh kudratnya untuk mencipta lebih banyak profil kerjaya selain mengintai peluang yang ada untuk kekal relevan dalam industri hiburan tempatan.
“Cerita tentang saya jarang keluar di surat khabar atau majalah, jarang muncul di majlis kerana bercanggah dengan jadual penggambaran. Saya juga langsung tidak kisah kalau ada peminat yang kenal atau tidak.
“Sebab utamanya, saya memilih pendekatan ‘diam-diam ubi berisi.’ Saya percaya cara ini banyak membantu melancarkan perjalanan kerjaya berbanding publisiti berlebih-lebihan sedangkan tak ada apa-apa pun yang menarik,” katanya membuka bicara diri.
Jauh dari sudut hati, dia berbangga dengan prestasi diri. Kesempatan yang diperoleh barangkali tiada pada pelakon lain apabila mampu menjayakan tujuh buah filem dalam tempoh lima tahun pembabitannya dalam bidang seni.
Lebih membanggakan lagi apabila rata-rata filem yang membabitkan dirinya itu mengetengahkan dirinya sebagai bintang utama. Antaranya filem Chowrasta, Anak Mami Nasi Kandaq yang sudah ditayangkan manakala Hantu Wangan, Qhaliq dan Blok 404 sedang menanti tarikh untuk ditayangkan.
Walaupun kejayaan itu dilihat tidak besar oleh segelintir pihak namun buat Risteena, dia sudah pun mencipta kejayaan kecil untuk dirinya sendiri sebagai bukti pembabitan diri sebagai anak seni.
“Kitaran hidup artis ini tak lama. Dua tiga tahun pada peringkat awal boleh pergi lagi. Kalau ada produk menarik, memang pada waktu itu tak menang tangan menerima jemputan ke sana sini.
“Tapi situasi itu tidak berlaku pada tahun-tahun seterusnya. Tak ada sebarang jaminan khusus yang meletakkan kita dalam carta teratas. Lama kelamaan, hala tuju kita itu akan ke arah bawah jua.
“Yang tinggal pada waktu itu adalah hasil lakonan kita yang menjadi bahan bukti peninggalan. Cuma, saya beruntung kerana rata-rata hasil lakonan saya itu ditayangkan di layar lebar,” ujarnya yang memasang impian bergelar primadona satu hari nanti.
Misi menjadi jutawan
Dalam diam-diam juga, pelakon yang dikenali menerusi drama Playboy Itu Suami Aku ini sudah membina empayar perniagaannya dalam bidang kecantikan. Jenama Cantik Dara dan butik pakaian Risteena Rose diusahakan sendiri beberapa tahun kebelakangan.
Bisnes itu sebenarnya menjadi sandaran utama kakak kepada pelakon Ruhainies ini andai berlaku apa-apa di kemudian hari. Risteena enggan mengambil risiko hidup menganggur atau mengharapkan sebarang ihsan daripada orang luar.
“Sebenarnya saya seorang yang konservatif, pendiam dan agak jumud. Berahsia memang cara saya apatah lagi membabitkan perihal yang tidak pasti. Dengan orang tua dan adik-beradik pun sama. Bukannya apa, takut tak jadi. Nanti malu.
“Saya menceburi bidang bisnes ini pun mereka tak tahu. Jauh sekali nak buka cerita tentang cita-cita nak jadi jutawan ini. Semua ini saya simpan baik-baik hinggalah betul-betul sahih di depan mata.
“Kedua-dua bisnes ini adalah peringkat permulaan saja. Ada beberapa lagi yang masih dalam perancangan lagi. Yang pasti, saya kena pastikan gelaran jutawan muda itu digenggam sebelum tamatkan zaman solo,” ujar Risteena yang mengeluarkan duit sendiri untuk mengusahakan perniagaan tersebut.
Risteena juga merancang untuk menambahkan cabang perniagaan lagi tetapi enggan mendedahkan perkara tersebut. Cuma yang diharapkan Risteena agar misi bergelar jutawan muda itu dapat direalisasikan sebelum usianya meningkat ke angka 30 tahun sekitar dua tahun lagi.
Dalam soal menamatkan zaman solo, pelakon drama Diandra ini tidak meletakkan sebarang tempoh untuk berumah tangga buat masa ini. Mengakui masih mencari-cari jodoh yang sesuai, komitmennya terhadap kerja juga menghalang dirinya daripada memikirkan soal tersebut.










