SIK – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerusi Jawatankuasa Kerohanian, Kebajikan dan Sahsiah (Jakkas) menganjurkan Program Amal Jariah bagi menyantuni 60 asnaf di dua daerah di Kedah dan Perlis.
Pengarah Eksekutif MIDA merangkap Pengerusi Jakkas, Mohd. Zulkafli Ismail berkata, program tanggungjawab sosial korporat yang berlangsung selama tiga hari, bermula semalam sehingga esok membabitkan 40 warga MIDA dari Kuala Lumpur, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
“Program tahunan Jakkas atau MIDA yang memasuki tahun ke-16 ini memberikan peluang kepada warga MIDA yang beragama Islam untuk mendampingi masyarakat luar bandar, khususnya golongan miskin, orang kelainan upaya, warga emas, ibu bapa tunggal dan anak-anak yatim.
“Program ini mula dilaksanakan pada 2002 di Sik dan hari ini kita mengulangi sejarah apabila kembali menyantuni golongan yang memerlukan di daerah ini bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Masjid Kampung Namek dekat sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengarah MIDA Kedah dan Perlis, Mohd. Harun Elik dan Ketua Bahagian Tarif MIDA, Hazli Jemaat. – Bernama











