WALAUPUN Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sudah berakhir pada 9 Mei lalu, namun bahangnya masih terasa.
PRU-14 menyaksikan MIC yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) berjaya memperoleh dua kerusi Parlimen iaitu di Cameron Highlands yang dimenangi oleh Datuk C. Sivarraajh sementara Datuk Seri M. Saravanan kekal untuk tiga penggal berturut-turut di Parlimen Tapah.
Bagi mendapatkan pandangan Saravanan, bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, kerajaan BN mengenai apa yang sebenarnya terjadi dalam politik kaum India, wartawan Jurnal menemubual beliau di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jurnal: Tahniah diucapkan kepada Datuk Seri selepas berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Tapah untuk tiga penggal berturut-turut sejak PRU-12. Boleh Datuk Seri kongsikan resipi kejayaan dalam memenangi hati rakyat di Parlimen tersebut.
SARAVANAN: Walaupun pada PRU kali ini majoriti undi menurun tetapi saya percaya hubungan baik saya dengan rakyat di Parlimen Tapah selama ini adalah pendorong kepada kemenangan saya. Saya percaya adalah menjadi tanggungjawab semua wakil rakyat untuk menjalinkan hubungan akrab dengan pengundi.
Malah saya turut mengenali kebanyakan pengundi di Parlimen Tapah secara peribadi. Saya turut mengurangkan protokol di Parlimen dan mereka boleh meminta sesuatu secara terus kepada saya tanpa memerlukan surat dan sekiranya munasabah, ia akan diluluskan.
PRU-14 menyaksikan BN mengalami kekalahan teruk dan MIC menyumbangkan dua kerusi sahaja. Pada pandangan Datuk Seri mengapakah BN boleh ditumbangkan sedangkan parti tersebut sudah mentadbir negara sejak 61 tahun lalu?
SARAVANAN: PRU-14 menyaksikan tsunami rakyat dan ini bukan terjadi secara tiba-tiba. Pada PRU-12 tahun 2008, BN memenangi 140 kerusi dan pada PRU-13 walaupun pelbagai program seperti 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia yang dilakukan oleh kerajaan BN, bilangan kerusi yang dimenangi masih berkurangan.
Tambahan pula, golongan muda mahukan perubahan dan mereka memberikan peluang kepada Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan pelbagai perkara menarik minat rakyat dalam manifesto mereka.
Walaupun BN banyak membantu rakyat untuk mengurangkan beban mereka tetapi kita boleh melihat mereka tidak boleh menerima pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan turun naik harga minyak petrol. Dua perkara tersebut telah membawa kepada kemenangan yang besar kepada PH.
Bagaimanakah Datuk Seri melihat hala tuju MIC selepas ini sebagai parti politik orang India?
SARAVANAN: Buat masa ini, saya cadangkan kepada MIC untuk melihat dan memantau setiap manifesto PH. Sekiranya mereka boleh melaksanakannya, kita harus menyokong kerana rakyat berasa manifesto PH lebih berjiwa rakyat. Bukan kerana kita kini sebagai pembangkang kita akan menentang segala-galanya. Rakyat sudah memberikan BN tempoh 61 tahun memerintah negara ini dan sekarang mereka memilih untuk PH untuk mentadbir negara.
MIC mempunyai peranan walaupun kita kini adalah pembangkang, MIC masih relevan untuk membantu masyarakat India dari segi sosioekonomi khususnya dalam bidang pendidikan.
Berada dalam blok pembangkang ketika ini sudah tentu banyak cabaran mendatang yang perlu ditempuhi. Adakah MIC sudah merencanakan formula baharu bagi memenangi semula hati rakyat di negara ini?
SARAVANAN: Ramai yang berpendapat apabila menjadi pembangkang, tugas kita menentang kerajaan kerana mungkin sebelum ini pembangkang hanya mencari kesalahan dan kesilapan. Bagaimanapun, tanggungjawab pembangkang bukan hanya menentang tetapi bertanggungjawab dalam memastikan apa sahaja yang diumumkan oleh PH dilaksanakan.
Sebelum ini, kerajaan BN berpendirian sekiranya memansuhkan GST dan kekalkan harga minyak petrol di bawah paras RM1.50, ia akan menyebabkan ekonomi negara merosot tetapi kerajaan hari ini mahu melakukannya.
Maka kita akan melihat secara realiti sama ada pendekatan itu betul atau tidak, sekiranya betul bagus, namun jika sebaliknya rakyat akan menderita.
Apakah harapan atau jangkaan Datuk Seri terhadap kerajaan baharu yang ditadbir oleh PH?
SARAVANAN: Saya rasa terlalu awal untuk memberikan komen mengenai kewibawaan PH walaupun dua pemimpin yang disegani di Malaysia serta arena antarabangsa, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi tunjang PH.
Bagaimanapun, zaman sekarang sudah jauh berbeza dengan dahulu. Jika dahulu tiada sesiapa pun berani memberikan komen terhadap BN dan masyarakat hanya bergantung kepada maklumat di media cetak atau elektronik, namun hari ini media sosial memainkan peranan penting. Suka atau tidak pengguna media sosial akan menyebarkan apa sahaja yang mereka mahu. Kalau itu boleh berlaku kepada BN, sudah tentu ia boleh terjadi kepada PH.
Seperti orang menyebarkan cerita kononnya negara nak bankrap, namun selepas PRU tiba-tiba sahaja ekonomi negara dalam keadaan kukuh, tidak mungkin dalam tiga hari boleh merubah semua benda.
Cabaran yang akan ditempuhi oleh PH bukan begitu mudah dan harapan rakyat terhadap PH terlalu tinggi. Sekiranya ia tidak ditunaikan mungkin ia akan menjadi isu besar.
Apakah perancangan Datuk Seri selepas ini?
SARAVANAN: Sebelum ini kita ada bantuan daripada kerajaan untuk membantu golongan belia dan saya sentiasa memberi fokus terhadap golongan yang tercicir dalam pendidikan.
Jika dahulu kita ada kemampuan untuk mendorong, mendidik dan memberi bantuan kepada golongan tersebut tetapi hari ini kapasiti kita lebih kepada melahirkan kesedaran dalam kalangan belia untuk memilih bidang-bidang tertentu antaranya pertanian.











