PUTRAJAYA – MIC bersedia melakukan perubahan untuk memastikan parti itu terus relevan dan diterima oleh masyarakat India di negara ini.
Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, walaupun berdepan dengan cabaran perubahan itu perlu dilakukan berdasarkan peranan Barisan Nasional (BN) sebagai pembangkang ketika ini.
“Masa depan MIC merupakan satu cabaran dalam iklim politik sekarang, apa yang mustahak adalah perpaduan antara pemimpin supaya dapat menyatupadukan semula parti dalam menghadapi cabaran sekarang selain memastikan parti terus relevan dan kekal dalam lima tahun akan datang.
“Ini kerana dalam suasana politik di mana parti politik tiada peranan dalam kerajaan persekutuan atau negeri maka cabaran menjadi lebih besar, peralihan ini akan mengambil masa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu Subramaniam menghadiri Majlis Penyerahan Tugas Menteri Kesihatan baharu kepada Dr. Dzulkefly Ahmad yang dilantik untuk menggalas tanggungjawab itu di Kementerian Kesihatan.
Menurut Subramanian, ahli dan pemimpin dalaman parti juga perlu bersedia melakukan perubahan sikap bagi menyesuaikan diri sebagai pembangkang ketika ini berbanding kerajaan sebelum ini
“Saya sudah pergi ke seluruh negara bagi memberi pandangan bagi memastikan mereka (ahli-ahli MIC) dapat menyesuaikan diri dengan peranan baru,
“Sekarang berlaku cabaran politik yang amat besar dan perubahan perlu dilakukan untuk membolehkan kita terus diterima oleh rakyat negara ini,” katanya.
Sebelum ini, Subramaniam telah mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti yang dijadualkan pada Oktober ini.
Keputusan tersebut adalah susulan kekalahan teruk parti komponen BN itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan parti kaum India itu hanya memenangi dua daripada sembilan kerusi Parlimen yang ditandinginya. – K! ONLINE










