SHAH ALAM – Teka-teki siapa akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor dijangka akan diketahui selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perbincangan mengenai senarai calon Menteri Besar akan dilakukan minggu depan bersama parti komponen Pakatan Harapan.
Jelasnya, perbincangan tersebut juga akan menentukan sama ada jawatan Menteri Besar akan dikekalkan sebagai kuota bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Setakat ini, belum ada senarai pendek bagi calon Menteri Besar dan kita hanya berbincang mengenainya pada minggu depan.
“Bila ada nama cadangan nanti kita akan kemukakan secepat mungkin kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas Aidilfitri,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Azmin hadir pada majlis berbuka puasa bersama Sultan Sharafuddin di Masjid Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Turut berangkat hadir adalah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Mohamed Azmin yang merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi memberitahu, ketika ini beliau perlu menumpukan kepada kementerian yang baharu digalasnya memandangkan tugasnya amat berat sekali.
“Portfolio yang diberikan kepada saya adalah portfolio yang penting.
“Saya telah menyembah maklum kepada Sultan Sharafuddin, apabila baginda berkenan dengan nama tersebut proses sumpah akan dijalankan secepat mungkin,” jelasya. – K! ONLINE











